The Club's Constitution KANDUNGAN Muka Surat FASAL 1 NAMA 4 FASAL 2 TEMPAT URUSAN FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA FASAL 4 TUJUAN/MATLAMAT 5 FASAL 5 KEAHLIAN FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN 6 FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI FASAL 8 MESYUARAT AGUNG 7 FASAL 9 JAWATANKUASA 8 FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI 10 FASAL 11 KEWANGAN 11 FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA FASAL 13 PENGAMANAH 12 FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG FASAL 15 PENASIHAT/PENAUNG FASAL 16 LARANGAN FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG 13 FASAL 18 PEMBUBARAN FASAL 1 NAMA (1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Kelab Motorsikal Berkuasa Tinggi Sabah (Sabah Big Bikers Club). Selepas ini disebut Pertubuhan. FASAL 2 TEMPAT URUSAN (1) Tempat urusan Pertubuhan ialah Resource Centre, 16 Grace Square 1, Jalan Pantai Sembulan, 88100 Kota Kinabalu, Sabah atau ditempat lain yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Tempat urusan Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar pertubuhan terlebih dahulu. FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA (A) BENTUK Logo Kelab berbentuk sebuah bayangan motosikal berlatar belakangkan matahari senja terbenam dengan nama SABAH BIG BIKERS CLUB (B) PENGERTIAN WARNA WARNA OREN pada matahari melambangkan keindahan & kecantikan destinasi- destinasi yang akan dilawati dengan membawa kenangan-kenangan yang indah & mengembirakan. WARNA MERAH melambangkan semangat kecekalan, keberanian, keharmonian, perpaduan, kebijaksanaan dan pemuafakatan sesama ahli serta ketabahan menghadapi sesuatu cabaran dan halangan dalam menempuh sesuatu ekspedisi dan aktiviti yang dijalankan. WARNA BIRU melambangkan kepentingan menjalankan sesuatu objektif dimana bagi Sabah Big Bikers, motif utama selain dari menimba pengalaman dalam setiap ekspedisi, tanggungjawab utama juga adalah mempromosikan Sabah sebagai suatu destinasi pelancongan serta keistimewaannya sebagai negeri dibawah bayu di Malaysia. FASAL 4 TUJUAN / MATLAMAT (1) Mengumpul peminat motorsikal berkuasa tinggi (500 cc ke atas) di Sabah (2) Berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta menanamkan displin dan perpaduan dikalangan ahli supaya mengutamakan keselamatan di Jalan Raya sambil menimba pengalaman di antara satu sama lain, (3) Memberi tumpuan kepada sesuatu ekspidisi supaya berjalan lancar dan mengambil peluang untuk memberi pendedahan mengenai Sabah cara 'Promosi Sabah secara bergerak'. FASAL 5 KEAHLIAN (1) Keahlian adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun keatas, bermastautin di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Keahliannya terbahagi kepada dua:- (i) Ahli biasa Mereka hendaklah memiliki Motosikal Berkuasa Tinggi (500cc ke atas) dan lesen memandu yang sah serta tidak mempunyi rekod jenayah. (ii) Ahli Bersekutu Mereka yang meminati Motosikal berkuasa tinggi. Ahli Bersekutu tidak berkuasa mengundi dan memegang jawatan dalam pertubuhan. (2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. (3) Tiap-tiap pemohonan yang permohonnya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulanan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli. (4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan. FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN (1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan oleh Ahli Biasa Dan Bersekutu adalah seperti berikut: Bayaran masuk RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja) Yuran bulanan RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh sahaja) (2) Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 10 hari dari awal tiap-tiap bulan. (3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan. (4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu. (5) Jawatankuasa mempunyi kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang. (6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan. FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI (1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persekutuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya. (2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan auat penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut. FASAL 8 MESYUARAT AGUNG (1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang- kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat. (2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli. (3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah; (a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu; (b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu; (c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan (d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu. (4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyataan kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan. (5) Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan: (a) bila difikirkan beramai-ramai mustahak oleh Jawatankuasa atau (b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan. (6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat. (7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat. (8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat Agung Khas,tetapi dengan syarat jika korum ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli- ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan. (9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu. FASAL 9 JAWATANKUASA (1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung tahunan: Seorang Yang Dipertua Seorang Naib Yang Dipertuan Seorang Setiausaha Seorang Penolong Setiausaha Seorang Bendahari 4 orang Ahli Jawatankuasa biasa (2) Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia. (3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun. (4) Fungsi jawatankuasa ialah mengelolah dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan ynag bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah menemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalan tahun lalu kepada tiap- tiap Mesyuarat Agung Tahunan. (5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertuan dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang diadakan mesyuarat Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat. (6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekelilingan. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima: (a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa. (b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan (c) Keputusan hendaklah dengan undi yang banyak. Sebarang keputusan yang didapat melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat. (7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa. (8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. (9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan pertubuhan. (10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa. FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI (1) Yang Dipertuan, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyi undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari. (2) Naib Yang Dipertuan hendaklah memangku jawatan Yang Dipertuan semasa ketiadaanya. (3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang- undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawap mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan.Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir. nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat cacatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan yang Dipertuan dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan pertubuhan kepada Pendaftar pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta pertubuhan, 1966. (4) Penolong setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha. (5) Bendahari adalah bertanggungjawap berkenaan semua hal kewangan pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawap di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertuan dan Setiausaha. (6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnnya. FASAL 11 KEWANGAN (1) Tertakluk kepada pertubuhan-pertubuhan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfeadah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah. (2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia Tiga ratus Sahaja) pada suatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama pertubuhan. (3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertuan, setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangi cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan. (4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih RM2,500.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Ratus Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertuan bersama setiausaha dan Bendahari. (5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan Diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan. (6) Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun. FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA (1) Dua orang yang bukan Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula. (2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertuan mengaudit kira-kira pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa. FASAL 13 PENGAMANAH (1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of trust). (2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Pertubuhan. (3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung. FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG (1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini. (2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung. FASAL 15 PENASIHAT / PENAUNG Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis. FASAL 16 LARANGAN (1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Know, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh Dan setengah, semua permainan dadu, banker's game, mainan video dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib; (2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959; (3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan; (4) "Faedah" seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya. FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pertubuhan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. FASAL 18 PEMBUBARAN (1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya. (2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan. (3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.
|